Friday, January 20, 2012

Mari berselawat bersama-sama

Monday, January 16, 2012

MENANGIS KERANA ALLAH



Daripada Ibnu Abbas r.anhuma katanya, aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;“Dua (jenis) mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis akibat ketakutan kepada Allah dan mata yang tidak tidur berjaga di jalan Allah.” (At-Tirmizi). Dalam satu hadith yang lain: “Wajah yang dibasahi oleh air mata kerana takutkan Allah s.w.t.., walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka.”Bukan sahaja wajah yang terselamat, tetapi seluruh badannya dan orang itu ialah ahli syurga. Airmata memberi syafaat kepada tuannya di hari kiamat dengan izin Allah.
Menangislah kerana Allah. Pelepah tamar dan buraq pun menangis. Pelepah tamar menangis kerana Nabi tidak lagi menggunakan sebagai mimbar masjid, akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Bura’ menangis kerana takut nabi tak pilih dia jadi tunggangan.
Pelepah tamar menangis
Jabir RA meriwayatkan seperti disebutkan dalam hadith Bukhari, “Nabi SAW selalu bersandar pada sebatang pohon tamar, ketika menyampaikan khutbah Jumat, Sayyidina Abu Bakar mencadangkan agar dibina mimbar yang baru. Nabi SAW bersetuju dan sebuah mimbar yang terdiri dari 3 anak tangga dibangun.
Ketika Nabi SAW duduk di atas mimbar yang baru untuk berkhutbah, para Sahabat mendengar pelepah tamar itu menangis seperti anak kecil. Nabi SAW mendekati pelepah kurma yang sedang menangis ini dan bertanya kenapa ia menangis. Pelepah tamar tersebut mengatakania menangis kerana ia tidak digunakan lagi untuk mengingat Allah SWT.Rasulullah saw kemudian menyuruh agar dikafankan pelepah tamar dan mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan di dalam syurga. Inilah satu-satunya pokok tamar di syurga yang berasal dari dunia.
Buraq menangis
Semasa peristiwa Israk Mikraj, Allah swt menyuruh Malaikat Jibrail memilih seekor Buraq untuk dijadikan tunggangan Baginda naik ke langit. Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di Jannatu Adnin (taman Syurga) dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Jibril bertanya kepada Allah, buraq manakah yang harus dipilih kerana semuanya elok, maka Allah menyuruhnya memilih Buraq yang menangis.
Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq? “Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.” Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
Para Nabi dan umatnya juga menangis
Nabi Adam adalah nabi yang paling banyak menangis, beratus-ratus tahun lamanya setelah dikeluarkan dari syurga. Nabi Yaakob juga menangis selama 80 tahun setelah kehilangan anaknya, Nabi Yusuf. Selain itu, umat Nabi Muhammad juga menangi seperti para wali iaitu Hassan Al-Basri dan Ali Zainal Abidin, anak kepada Sayyidina Hussin.

Ulasan Kopiahijau
berapa kali seumur hidup kita airmata kita mengalir kerana ALLAH, dan berapa kali
airmata kita mengalir kerana makhluk.

Wednesday, January 11, 2012

Mungkir janji disisi islam


Islam mengambil berat kesejahteraan dan keselesaan hidup umatnya. Banyak ayat al-Quran dan hadis menganjurkan supaya umat Islam hidup berbaik-baik, hormat menghormati dan tolong menolong antara satu sama lain.

Menepati dan menunaikan janji adalah antara sifat yang sangat dituntut Islam seperti firman Allah yang bermaksud : “Dan penuhi (sempurnakanlah) perjanjian (dengan Allah dan manusia) sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”-(Al-Israk:34).

Malah, dalam ayat lain Allah menerangkan bahawa mereka yang sentiasa menunaikan janji adalah dianggap sebagai golongan yang beriman, yang benar dan bertakwa kepada Allah s.w.t., seperti firman-Nya yang bermaksud: “…..Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan (menepati) janjinya apabila mereka membuat janji……” – (AL-Baqarah:177).

Di samping itu, banyak pula hadis yang menuntut supaya umat Islam menjadi umat yang menghormati janji. Malah, Rasulullah sendiri pernah keluar menunggu beberapa hari kerana menunaikan janjinya hendak berjumpa seseorang. Demikian juga umat Islam dituntut supaya menjadi umat yang bertanggungjawab terhadap janji yang dibuat, kecuali ada keuzuran atau halangan yang tidak dapat dielakkan. Besar dosanya bagi orang yang suka membuat janji dan sengaja tidak mahu menyempurnakannya, kerana perbuatan itu boleh menyusahkan orang lain dan dianggap tergolong dalam golongan orang munafik.

Sebagai seorang muslim yang yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah dengan kehendak dan izin Allah, maka setiap kali membuat janji hendaklah menyebut “Insya Allah” yang bermaksud : “Jika dikehendaki Allah”.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa ucapan itu bukanlah satu alasan untuk tidak menunaikan janji yang dibuat.

Ucapan “Insya-Allah” itu hendaklah disertai dengan ‘azam untuk menunaikan janji itu supaya dia tidak tergolong dalam golongan orang yang munafik. Sebutan “Insya Allah” itu adalah sebagai tanda keimanan dan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah, kerana kita yakin bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu kecuali dengan izin Allah.

Allah berfirman, maksudnya : “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya-Allah”. Dan ingatlah akan tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”. – (AL-Kahfi : 23-24).



Sabda Rasulullah, bermaksud “Kalaulah Nabi Allah Sulaiman berkata “Insya-Allah” nescaya akan lahirlah zuriat yang akan menjadi mujahid (pejuang) pada jalan Allah”. (Fath al-Bari; jld. 6; m.s.558)

KESIMPULAN ; Berdasarkan kepada hujjah dan alasan yang tersebut di atas dapat kita faham bahawa betapa pentingnya menjaga hubungan kita dengan Allah dan juga manusia. Sehingga Islam mensyariatkan bahawa seseorang itu melafazkan kalimah “Insya Allah” sekiranya ia berjanji hendak melakukan sesuatu perkara yang ia tidak pasti dapat melakukannya atau tidak, tetapi janganlah pula ini dijadikan alasan untuk melarikan diri daripada menyempurnakan janji yang dibuat. Kerana kalau kita tahu bahawa kita tidak akan dapat melakukan suatu perkara atau menunaikan janji itu maka seharusnya kita berterus terang sahaja, kalau tidak maka kita telah melakukan suatu pembohongan yang terancang. Dan juga kita telah menghampakan harapan orang. Janganlah terlalu mudah membuat janji. Kerana janji yang tidak tertunai, kepercayaan orang pada kita lama kelamaan akan lebur.

Wallahua’alam.

Template by:
Free Blog Templates