Monday, August 29, 2011

KELEBIHAN BULAN SYAWAL



Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.

Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu.

"Antara fadilat sembahyang tengah malam pada malam Hari Raya Aidil Fitri ialah pasti akan dimasukkan ke dalam syurga."


Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.

Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.


Antara fadilat puasa sunat 6 Syawal :

Puasa Hari Pertama
-mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Adam a.s.

Puasa Hari Kedua
-mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Yusuf a.s.
-keluar dosa-dosa dari tubuhnya bagaikan baru dilahirkan dari perut ibu.

Puasa Hari Ketiga
-mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Yaakub a.s.
-sekiranya berpuasa tanpa diketahui orang lain, Allah s.w.t. tidak rela untuknya pahala kurang daripada syurga.

Puasa Hari Keempat
-mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Musa a.s.

Puasa Hari Kelima
-mendapat pahala sebaigaimana pahala Nabi Isa a.s.
-menyamai berpuasa sepanjang tahun

Puasa Hari Keenam
-mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Muhammad s.a.w.
-jika kebetulan seseorang makan berhampiran orang yang berpuasa itu, akan dibacakan Istighfar untuknya oleh para malaikat.


Nabi s.a.w. bersabda :
"Hiasilah Hari Raya kamu dengan (membanyakkan bacaan) takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (menyucikan Allah dari sifat-sifat kekurangan)."
Riwayat Atthabarani....

Friday, August 19, 2011

PERBUATAN MEMBAZIR ADALAH SAUDARA SYAITAN



JANGAN JADIKAN DIRI KITA SAUDARA SYAITAN....
Maksud ayat 27 dalam surah al-Israa
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Malah dalam teks sebenar ini sifat membazir itu amat hina sehingga ALLAH mempersaudarakan orang yang membazir itu dengan syaitan.

Tapi, kenapa antara sifat2 mazmumah yang ada, sifat membazir jugak yang menjadikan seseorang saudara syaitan? Tidak lain dan tidak bukan dalam diri orang yang membazir itu ada perasaan takabbur kerana tidaklah seseorang itu membazir melainkan dia merasakan dirinya punya kelebihan serta ingin menunjuk-nunjuk. Dan sesungguhnya sifat takabbur itu juga ada pada syaitan.
Seperti juga maksud potongan ayat 34 dalam surah al-Baqarah
"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takabbur, dan menjadilah ia dari golongan Yang kafir."



Tidaklah ALLAH menghukum iblis itu kerana dia melakukan kesalahan. Nabi Adam a.s juga melakukan kesalahan ketika memakan buah dari pohon terlarang di syurga namun kerana sifat TAKABBUR yang ada pada iblis; merasai dirinya LEBIH dari yang lain, maka ia dihukum. Namun samada sesorang itu takabbur atau tidak, ALLAH jualah yang lebih mengetahui..
Mungkin diri kita sendiri dapat menilai sejauh mana kita boleh mengawal diri dari terjerumus kedalam golongan yang dipersaudarakan dengan iblis. Jika dibulan Ramadhan yang penuh berkat ini kita sedia maklum syaitan dan iblis sudah dibelenggu, akan tetapi kita masih melakukan pembaziran. Secara tidak langsung hati kita masih cenderung dengan kerja-kerja iblis. Jangan jadikan kita sahabat atau saudaranya.
Jika kita Berjaya membuang tabiat pembaziran bermakna kita Berjaya memutuskan persahabatan atau persaudaraan dengan iblis….

Tuesday, August 16, 2011

Nuzul Quran


Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Thursday, August 11, 2011

Kemuliaan sifat Nabi Muhammad SAW


Kisah NABI MUHAMMAD S.A.W dengan seorang pengemis buta


“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu-lalang.
Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.
Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa-apa.
Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.


Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.
“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.
“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.
“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.
Pada keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.



“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.
“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.
“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra yang masih memegang makanan itu.
“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya yang sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.
“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.
“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis teresak-esak.

“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.
Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah..

Sunday, August 7, 2011

BERSYUKUR DENGAN REZEKI



Walau setinggi mana pun jawatan kita
Semahal mana pun pendapatan kita
Sekuat mana pun kita bekerja
Segigih mana pun usaha kita
Jangan sesekali kita lupa
Rezeki yang kita dapat setiap hari itulah
Datang dari Allah
Bila datang dari Allah
Wajib kita sujud pada Allah
Tanda kita syukur dengan rezeki Allah

Rezeki datang dari Allah Yang Maha Pemurah. Allah lah punca segala rezeki.Tiada siapa yang boleh memberi rezeki kecuali Allah.Tiada siapa pula boleh mencapai rezeki kecuali atas izin-Nya. Jika Allah telah mengizinkan seseorang mendapat rezeki,maka rezeki itu akan datang kepadanya walau cuba ditahan oleh seluruh penduduk alam semesta. Jika Allah tidak mengizinkan seseorang itu mendapat rezeki, maka tiadalah rezeki baginya walau seluruh malaikat, jin, syaitan dan manusia berserta seluruh makhluk cuba untuk menyampaikan rezeki itu ke mulut orang itu.


Untuk mengucap syukur pada Allah bukan sekadar angkat tangan dan berkata Syukur...... Tidak sama sekali….
Taatilah apa yang disuruh serta tinggalkan apa yang dilarang,
Barulah rezeki yang diperolehi mendapat keberkatan-Nya
Bila lupa kita pada Allah
Macamana kita nak mengharap rezeki datang pada kita
Tidakkah ada rasa malu kita mengharapkan rezeki Allah
Sedangkan kita tak pernah mengerjakan suruhan-Nya.
Seperti juga kita makan gaji tetapi tidak buat kerja.

Wednesday, August 3, 2011



Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa.”

Manakala Rasulullah SAW telah bersabda :
Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”

Template by:
Free Blog Templates